top of page
Search
Writer's pictureutzhomes

Sertai Misi Musim Sejuk Syria

Pada tarikh 4 februari yang lepas, 2 wakil dari Utz Homes iaitu Ustaz Muhammad Hamdi bin Ahmad dan Encik Ahmad Luthfi bin Abdul Kudus telah bertolak pergi ke Turki untuk menyampaikan bantuan kepada pelarian Syria. Delegasi misi ini disertai seramai 4 orang sukarelawan yang mewakili gabungan 6 NGO iaitu Sadaqah Centre, Yayasan Afdlin Shauki, Sarjana, Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kubra dan Yayasan Qasimul Ulum.

Perjalanan penerbangan mengambil masa selama hampir 14 jam dengan menggunakan penerbangan Qatar Airways, bermula dari lapangan terbang KLIA bertolak ke Lapangan terbang antarabangsa Doha untuk transit sebentar dan selepas itu, bertolak pula ke Istanbul dan apabila sampai di Lapangan terbang Istanbul kami menaiki pula pesawat domestik untuk ke Daerah Hatay,Turki kerana dari situ kami akan masuk ke Syria menggunakan jalan darat. Perjalanan ini penuh dengan cabaran dan dugaan, semoga Allah redha dan terima dengan permusafiran ini. Amin. HARI 1 : LAWATAN KE PEJABAT IHH & KILANG ROTI

Misi bermula dengan melawat ke pejabat NGO IHH serta membuat perbincangan akhir gerak kerja dan perjalanan misi di Syria.

Human Relief Foundation (IHH) merupakan NGO kerjasama di Turki yang membantu kami menjayakan misi ini.

Tim juga melawat ke pusat logistik IHH di Reyhanli, Turki dimana terdapat kilang roti yang menghasilkan roti untuk diagihkan kepada pelarian Syria.

Di pusat ini juga terdapat gudang barangan-barangan bantuan ditempatkan sebelum barangan ini dibawa masuk ke Syria dengan trailer


HARI 2 : PERASMIAN 'TAMAN MALAYSIA' & AGIHAN BANTUAN DI IDLIB, SYRIA

Syukur Alhamdulillah, amanah kalian telah kami laksanakan.

Hari ke 2 misi kami masuk ke Idlib, Syria melalui pintu sempadan Babul Hawa.

Kami ke kem Azaq, Idlib untuk lawatan dan perasmian Taman Malaysia, iaitu penempatan 70 buah rumah yang telah berjaya disiapkan untuk pelarian Syria di kem ini.

Di kem ini juga kami agihkan sumbangan 500 pek roti yang merupakan makanan ruji mereka. Kelihatan riak wajah mereka terutamanya kanak-kanak begitu teruja saat tim kami tiba disana.

Saudara kita disana berkali-kali mengucapkan jutaan terima kasih dan mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia yang begitu prihatin dan sudi membantu memberi sedikit keceriaan dan juga meringankan sedikit beban mereka.

Semoga Allah nilai setiap kebaikan kalian dengan sebaik-baik nilaian disisiNya.


HARI 3- AGIHAN BANTUAN DI IDLIB, SYRIA

Misi kami menziarahi dan menyantuni pelarian di kem Kefel Aruk yang berada disempadan Idlib dan Halab.

Sumbangan arang (bahan bakar) diagihkan untuk 350 keluarga di sana. Kemudian kami ke kem di Harbanush untuk menyampaikan sumbangan pek makanan.

Kami telah disapa oleh beberapa orang kanak-kanak Syria dan terpancar senyuman mereka dengan kehadiran kami.

Hilang segala penat lelah kami melihat senyuman mereka dan berulang kali mereka mengucapkan terima kasih kerana sudi menjenguk serta bantu mereka disana.

Namun masa mencemburui kita. Kami terpaksa bergerak pulang segera sebelum malam atas sebab keselamatan.

Selamat tinggal saudara-saudaraku. Moga malam ini malam yang terindah buatmu tersenyum. Ini sahaja yang mampu kami berikan untuk bantu kalian kali ini.

Ayuh teruskan mengukir senyuman mereka dengan menyumbang di tabung akaun:

Pertubuhan Pengurusan dan Pusat Program Sadaqah 562405628612 Maybank Islamic Nota Rujukan: Winter

Video hari ketiga adalah penutup untuk misi bantuan musim sejuk Syria 2021/2022. Misi bantuan kali ini adalah misi yang sangat mencabar kerana kawasan yang berhampiran kami lawati telah berlaku pengeboman dan juga masalah ribut salji yang mengakibatkan beberapa khemah telah runtuh kerana bebanan salji. Semoga dengan hasil sumbangan dari para dermawan di Malaysia ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka dan kami berharap segala perbuatan kami dan penyumbang-penyumbang semua dinilai jariah oleh Allah s.w.t. *Gambar terakhir ini adalah ketika kami berada di Istanbul melawat HQ IHH.

21 views0 comments

留言


Post: Blog2_Post
bottom of page